Prolog

Bacalah atas nama Tuhanmu, 

yang menjadikan segala makhluk di muka bumi. 
Tuhan yang sentiasa melihat dan memberi kepada HambaNya.
Dia jugalah yang memberi ilham dan memandu, arah tujuan setiap insan.
Seperti memandu kamu ke sini.. 
Assalamualaikum, ahlan wasahlan
Wallahualam.

Secebis Persinggahan
Aku hanyalah insan biasa, punya nama Nur Atiqah Zakaria. Seorang gadis sejak azali dan sekarang menuntut pelajaran di sebuah universiti tempatan Sabah. Mungkin ada yang mengenal diri ini sebagai Cahya Qasehnya, ya itu juga aku, cuma dari nama penanya. Aku seorang muslimah yang masih mencari dan belajar. Aku insan lemah yang masih berjalan di muka bumi ini bersama harapan setinggi gunung, bersama keyakinan yang ingin diperkuatkan kepada Tuhan yang satu Allah SWT. Agar dipermudahkan perjalanan hambaMu ini mencari kasih Mu.

Blog ini pertama sekali aku niatkan demi mencapai keredhaan Nya, setinggi syukur padanya kerana memberikan ilham di hati hambanya yang kerdil ini dalam setiap isi penulisan. Tiadalah penulisan ini tanpaNya, tiadalah buah fikiran ini tanpaNya, dan yang pasti tiadalah diriku ini tanpaNya. Kita hanyalah sandaran, dariNya jugalah segala macam kemungkinan, segala macam penglihatan, segala macam ilmu merentasi keluasan. Itulah sebabnya janganlah doa kita putus dari memohon kebenaran. Kebenaran itu bukan lahir dari mata, kerana kita hanya mempunyai 'sepasang mata', kebenaran itu bukan lahir dari lidah, kerana lidah bisa membohongi isi-isinya. Kebenaran itu datang dari Tuhan, ayuh kita jadi seorang insan yang menyerahkan segala-galanya pada Tuhan yang pastinya diiringi doa dan usaha yang berterusan.

Apa tentang blog ini?
Blog ini aku andaikan gudang segala macam karya ku di masa lapang. Aku bukanlah penulis yang mahir, bukan juga seorang kepala seni, bukan juga seorang yang hebat dalam selok belok dunia maya. Aku hanya aku, yang masa lapangnya suka menulis idea sanubari, yang suka melihat dan menilai kehidupan dari pandangan sendiri dan diukur dari setiap perspektif yang berbeza lantas mencetuskan karya-karya ini. Aku hanya ingin berkongsi apa yang aku rasa, meskipun aku tahu bukan mudah. Terlalu banyak halangan dan pancaroba. Namun hanya Dia tempat aku bersandar, segala halangan aku cuba tempuhi InsyaAllah penuh kesabaran dan doa berpanjangan.

My Midnight Paradise
Kebanyakan karya-karyaku seringkali tercetus di tengah malam, di saat bulan mengambang, di saat angin malam menghempas longlai dedaun tingkapku. Saat saat itulah yang ku hargai, saat itulah yang aku sayangi, yang ku adaptasi dalam karya karya ku. Saat saat itulah yang aku ingin abadikan buat pembaca. Agar menghargai masa cetusan ideanya. Jangan biarkan ia pergi, kerana ia datang hanya sekali. Hanya sekali di masa-masa tertentu.

Seandainya ada tersilap kata, tersalah bicara, janganlah lupa untuk perbetulkannya, diriku ini hanyalah manusia biasa, yang pasti terdapat cacat celanya dimana-mana. Semoga perjalanan kalian di bumi kalian mendapat redha dariNya. InsyaAllah saya doakan.

Setulus hati saya menyambut kedatangan pembaca.
Salam ukhuwah fillah.. 
Cahya Qasehnya.




Syukran buat Allah, Tuhan semesta alam, serta salam kepada Nabi Muhammad SAW.
Syukran kepada ayah bonda yang sentiasa teguh mengiringi perjalanan anakanda.
Syukran kepada dia yang sentiasa ada saat memerlukannya.
Syukran kepada guru-guru yang tidak putus-putus mewariskan ilmu.
Syukran kepada sahabat handai yang sentiasa membuatku tersenyum meskipun dikala hiba.
Syukran kepada kamu, yang sudi meluangkan masa mayamu bersama aku.
Syukran tidak terhingga.. kerana masih diberi peluang sebesar ini.

Disini kisah baru bermula...
Wallahualam, Jazzakalllahu khairan kathiran.

Intense Debate Comments